Proses Kenal Diri


Blog ini sekadar membincangkan proses mengenal diri mengikut pengalaman yang cuba difahami serta dilalui diri saya sendiri, tanpa berdasarkan mana-mana kitab khusus. Ianya sekadar pengetahuan dan kepercayaan diri serta bukanlah kaedah yang bebas daripada apa-apa kecacatan.

Saya juga mengelakkan penjelasan teknikal dan sekadar menjelaskannya dengan bahasa ringkas bagi tujuan pemahaman pembaca kebiasaan. Ianya juga bukan bertujuan menjawab persoalan “bagaimana nak hidup kalau macam ini” dan telah terdapat banyak blog lain yang membicarakan serta memberi jawapan kepada persoalan tersebut. Selanjutnya, pembaca juga dinasihatkan memahami Al-Quran dan mendapatkan guru yang sebenar-benar guru (atau guru sejati).

Terlebih dahulu, persoalannya kenapa perlu kenal diri? Kerana “memori” daripada firman Allah SWT di bawah:

Dan ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam dari belakang mereka, dan Ia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri: “Bukankah Aku tuhan kamu?” Mereka semua menjawab: “Benar, kami menjadi saksi”. Yang demikian supaya kamu tidak berkata pada hari kiamat kelak: “Sesungguhnya kami adalah lalai tentang ini”. (7:172)

Kita semua mempunyai memori ini dan telah melihat, mendengar dan berbicara dengan Allah SWT. Adakah kita lupa? Oleh itu jalan untuk kembali ialah mencari kembali diri kita yang sebenarnya.

Kini rajah di bawah menjelaskan manusia mempunyai elemen nafsu, akal, qalbi (hati) dan roh serta mengikut susunan di bawah.

.

Kini cuba bayangkan elemen manusia seperti lapisan kulit bawang. Nafsu terletak pada lapisan kulit paling atas, dan sekiranya kita mengupas lapisan paling atas (nafsu), kita akan menemui elemen akal, seterusnya qalbi (hati), dan diakhiri dengan elemen roh atau diri kita.

Selanjutnya, kita tidak  berupaya melangkau kepada penyucian elemen lain tanpa terlebih dahulu menyucikan elemen  sebelumnya. Sebagai contoh sebelum kita berupaya dan bersedia menyucikan akal, kita perlu terlebih dahulu berjaya menyucikan nafsu. Sebelum kita mampu dan bersedia menyucikan hati, kita perlu terlebih dahulu telah berjaya menyucikan dan memprogram kembali minda tanpa sedar kita (subsconcious mind).

Setiap peringkat memerlukan persediaan diri yang sangat mantap sebelum mampu menghadapi proses selanjutnya. Ini diperlukan supaya kita berupaya menghadapi tekanan, memahami laluan kehidupan sebenar dan tidak menjadi bingung sendirian.

NAFSU

1. Proses pertama ialah mengikhlaskan diri kepada Allah SWT, menekan nafsu makan, tidur dan aktiviti membuang masa. Objektifnya ialah mendiamkan suara nafsu agar mampu berkomunikasi secara langsung dengan minda di bawah sedar. Aktiviti paling ringkas ialah bermula dengan mengikhlaskan diri dan bertaubat, memperbanyakkan puasa (puasa mutih atau sehingga mengikat 3 ketul batu diperut), mengurangkan tidur (1-2 jam sehari) dan memperbanyakkan solat serta zikir.

Pada permulaannya diri akan memberontak ganas kerana nafsu dan syaitan di dalam diri masih kuat. Setelah kelamaan dan apabila nafsu tidak lagi mampu bersuara (syaitan menjadi kurus), kita akan mampu berbicara dengan minda di bawah sedar (subscious mind) tanpa dihalangi minda sedar (conscious mind).

Bagaimana kita mengetahui telah bersedia ke peringkat seterusnya?

Tanda jelas kita bersedia melangkah peringkat kedua ialah apabila tidak lagi mendengar apa-apa panggilan atau bunyian semasa melakukan zikir dan bersolat. Sepertimana kita tidak mendengar panggilan atau bunyian ketika tidur, seperti itu jualah hendaknya keadaan kita semasa bersolat dan berzikir. Kita khusyuk sehingga tiada lagi yang dilihat, tiada lagi didengari, dan tiada lagi suara nafsu atau minda sedar (conscious mind).

Apabila kita mencapai tahap ini, maka kita telah bersedia meneruskan ke peringkat penyucian akal di bawah sedar (subsconcious mind). Sebaliknya dan sekiranya kita berupaya mendengar panggilan atau apa-apa bunyian ketika bersolat dan berzikir, kita belum mampu meneruskan ke peringkat penyucian akal kerana nafsu dan minda sedar (conscious mind) akan sentiasa menghalang kita berkomunikasi dan memprogram kembali minda di bawah sedar (subsconcious mind).

Keseluruhan proses ini boleh mengambil proses berbulan atau bertahun lamanya, bergantung kepada sejauh mana usaha kita bersungguh-sungguh berlapar, mengurangkan waktu tidur dan berzikir.

AKAL

2 & 3. Peringkat ke-2 & 3 ialah “memprogram kembali” minda di bawah sedar (subsconcious mind) kita untuk menerima kalimah “Tiada tuhan selain Allah dan Muhammad itu pesuruh Allah“. Objektif peringkat ini ialah membersihkan  kemunafikan dan kekufuran di dalam minda di bawah sedar (subsconcious mind), serta memasukkan keyakinan kepada Allah SWT dan Nabi Muhammad SAW ke dalam minda di bawah sedar (subsconcious mind).

Setiap perkara yang kita “lihat“, “dengar” dan “bicara” akan memprogram minda di bawah sedar (subsconcious mind) kita supaya tidak beriman, atau supaya beriman kepada Allah SWT dan Nabi Muhammad SAW. Malahan setiap perkara yang kita miliki atau ingin miliki akan menguasai minda di bawah sedar kita. Minda di bawah sedar kita dirosakkan oleh keyakinan dan “idea-idea kehidupan” yang kita perolehi dari televisyen, perbualan/ceramah, “idea-idea” kehidupan masyarakat munafik/kafir dan pelbagai “idea-idea” lain yang menghalang kita daripada menjadi orang yang benar-benar beriman. Idea-idea ini berakar umbi di dalam minda di bawah sedar kita (subsconcious mind).


How To Brainwash A Nation

Kesannya, 99.9% umat Islam hari ini sekadar menjalani kehidupan “beriman dimulut” kepada Allah dan RasulNya, dan sepenuhnya “beriman dihati” kepada cara kehidupan dan idea sekular. Ianya kerana kita sekadar beriman dengan minda sedar (conscious mind) sedangkan minda di bawah sedar (subsconcious mind) kita dikuasai oleh idea kehidupan “sekular” dan orang kafir munafik.

Maka itu usahlah berangan mati sebagai orang beriman sebelum benar-benar berjaya “memprogram kembali minda” di bawah sedar agar sepenuhnya beriman menurut kehendak-kehendak “Rukun-rukun Kalimah Tauhid“. Ini kerana syarat utama wujudnya keyakinan (belief) di dalam hati kepada Allah SWT dan Rasulullah SAW adalah minda di bawah sedar (subsconcious mind) yang terlebih dahulu menerima keimanan.

Selanjutnya dan sebagai tambahan kepada proses menekan nafsu, tindakan masa kini ialah menghapuskan penglihatan, perbicaraan dan pendengaran yang dapat mempengaruhi minda di bawah sedar kita. Sebagaimana Allah SWT berfirman orang munafik itu “…pekak, bisu dan buta (kepada kebenaran)….” (2:18), sebegitulah juga orang beriman mesti memekakkan, mebisukan dan membutakan mata mereka kepada idea-idea dan jalan kehidupan yang tidak diredhai Allah SWT.

“…Katakanlah (wahai Muhammad): “Hai orang-orang kafir! “Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah. “Dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) yang aku sembah. “Dan aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat. “Dan kamu pula tidak mahu beribadat secara aku beribadat. “Bagi kamu ugama kamu, dan bagiku ugamaku…”. (Al-Kafirun)

Pada peringkat ini kita hendaklah berusaha memahami setiap maksud ayat Al-Quran dan Hadis dan memperbanyakkan zikir serta beribadah. Kita perlu berusaha menggunakan “akal” kita untuk memahami ciptaan tuhan. Kita perlu sepenuhnya memfokuskan deria kita kepada perkara yang berupaya membentuk “fikiran” (thought) dan “perasaan” (feeling) “bersyukur“, “patuh” dan “cinta” kepada Allah SWT dan Nabi Muhammad SAW.

Kini dan bagaimana kita mengetahui telah bersedia ke peringkat seterusnya?

Tanda jelas kita bersedia melangkah peringkat selanjutnya ialah apabila kita berupaya mengotakan ikrar kita kepada Allah SWT semasa bersolat ke dalam kehidupan realiti kita. Tanda jelas ialah apabila ucapan “Inna solati wanusuki wamahyaya wamamati lillahi rabbil alamiin” (sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanyalah kerana Allah, Tuhan seluruh alam) bukanlah sekadar ucapan munafik, tetapi ucapan keimanan sebenar dan kita  mengamalkan “solatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanyalah kerana Allah” dalam seluruh kehidupan kita.

Peringkat ini sukar kerana bukan sekadar memerlukan penekanan nafsu, malah memerlukan pemahaman energi dan cara kehidupan yang menyokong serta membantu minda di bawah sedar (subsconcious mind) agar berupaya menyerap sumber keimanan daripada penglihatan, pendengaran, dan perbicaraan yang baik-baik sahaja; contohnya Muslim Village.

Situasi lain yang terbaik pada peringkat ini ialah berdoa dan memohon bersungguh-sungguh kepada Allah SWT agar kita diberikan ujian kehidupan paling sukar berserta kekuatan hati menghadapinya.

Ujian Allah SWT itu adalah rahmat terhebat dan lebih hebat daripada segala isi dunia dan isinya. Hakikat sebenarnya dan dalam situasi zaman ini, hanya dengan jalan ujian kehidupan yang sukar minda di bawah sedar (subsconcious mind) dapat diprogram kembali dan dibersihkan. Hanya dengan jalan ujian kehidupan yang sangat sukar segala idea jahat yang berakar umbi di dalam minda kita dapat dikeluarkan dan idea keimanan berupaya diprogram kembali.

Apabila kita melepasi tahap ini dan masih belum gila (kerana tidak redha kepada Allah SWT), maka kita telah bersedia meneruskan kepada peringkat penyucian hati. Sebaliknya dan sekiranya masih belum berupaya mengotakan ikrar solat ke dalam kehidupan realiti, kita tidak akan berupaya meneruskan kepada penyucian hati kerana fikiran dan emosi (feeling/belief) kita masih tidak mampu mengeluarkan “wave” atau “energy” yang diperlukan untuk menghidupkan hati.

Kini apakah hati yang hidup? Hati yang hidup ialah hati yang mempunyai keyakinan 100% (bukan 99%), hati yang hidup ialah hati yang berupaya memegang batu dan mengatakannya ianya emas, maka bertukarlah ia menjadi emas. Hati yang hidup ialah hati yang tidak pekak, tidak bisu daripada realiti kehidupan sebenar. Hati yang hidup ialah hati yang apabila mendengar sahaja ucapan “Allah“, maka berdebar-debarlah hatinya kerana sangat ketakutan, dan hati yang mati adalah hati yang tidak rasa berdosa apabila melakukan sekecil-kecil dosa.

QALBY (HATI)

4 & 5. Peringkat ke-4 & 5 ialah usaha menggabungkan minda di bawah sedar (subsconcious mind) dan emosi (fear/love) agar menjadi sumber kepada perasaan dan kepercayaan (feeling/belief) yang kuat dihati sehingga berupaya mewujudkan energi (electrical/ magnetic). Energi atau wave daripada hatilah yang akan menghubungkan kita dengan realiti kehidupan sebenar. Hati umpama “kuncinya” dan untuk kita menyedari realiti dunia ini sebenarnya hanyalah satu ilusi.

“…Dan kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah ibarat hiburan dan permainan; dan sesungguhnya negeri akhirat itu ialah kehidupan yang sebenar-benarnya; kalaulah mereka mengetahui…” (29:64)

Peringkat ini adalah peringkat “Iqra! Bismi rabbi ka’lathi qalaq”:

‘Iqra’ (bacalah) denqan menyebut nama Tuhanmu yang menciptakan. Dia telah Menciptakan manusia dari segumpal darah. Iqra’ (bacalah), dan Tuhanmu lah yang Paling Pemurah, sang Mengajar (manusia) dengan perantaraan kalam. Dia Mengajarkan kepada manusia apa yang tidak diketahuinya. (Q. Al ‘Alaq: 1-5)

Pada peringkat ini kita akan mempelajari sunnatullah alam (Alif Lam Meem) bagi mengenali Allah SWT. Pada peringkat ini kita mempelajari “ihdinas siratal mustaqim“, jalan kehidupan yang umpama sehalus rambut di belah tujuh dan lebih tajam dari pedang (perumpamaan titian siratal mustaqim). Inilah jalan yang akan menunjukkan kepada kita bagaimana manusia berupaya menggabungkan alam, tauhid, syariat dan tasawuf di dalam kehidupan kita dan agar kita berupaya menjadi Khalifah sebenar. “…(Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi” (2:30).

Peringkat ini adalah paling sukar dan memerlukan konsep “kami dengar, kami patuh” yang sangat tinggi. Peringkat ini memerlukan keyakinan yang benar-benar mantap sebelum berupaya mengeluarkan “wave” yang berupaya membukakan realiti kehidupan sebenar. Peringkat ini adalah peringkat “keyakinan” tidak berbelah-bagi dan “kecintaan” ke atas segala perintah Allah SWT dan Rasulullah SAW, dan yang mana hendaklah dibuktikan melalui “amalan kehidupan” (bukan melalui ucapan atau ceramah bodoh/jenaka… ucapan itu tiada nilainya, hanya “amalan” menjadi penghubung).

Kini dan bagaimana kita mengetahui telah bersedia ke peringkat seterusnya?

Sekadar contoh dan sekiranya anda memerlukan sesuatu hajat serta berdoa tetapi masih belum termakbul… maka anda belum bersedia. Sekiranya anda berdoa untuk sesuatu hajat dan memperolehinya, maka anda juga belum bersedia. Tetapi sekiranya anda sekadar menginginkan sesuatu di hati dan Allah memakbulkannya, maka anda telah bersedia. Anda bukan lagi berada dalam lingkungan Ar-Rahman Allah SWT, tetapi telah berada di dalam lingkungan Ar-Rahim Allah SWT. Pada peringkat ini anda akan “iqra” realiti kehidupan sebenar dan sepertimana Allah SWT berfirman:

“…Allah yang menerangi langit dan bumi. Bandingan nur hidayah petunjuk Allah adalah sebagai sebuah “misykaat” yang berisi sebuah lampu; lampu itu dalam geluk kaca, geluk kaca itu pula (jernih terang) laksana bintang yang bersinar cemerlang; lampu itu dinyalakan dengan minyak dari pokok yang banyak manfaatnya, (iaitu) pokok zaitun yang bukan sahaja disinari matahari semasa naiknya dan bukan sahaja semasa turunnya (tetapi ia sentiasa terdedah kepada matahari); hampir-hampir minyaknya itu – dengan sendirinya – memancarkan cahaya bersinar walaupun ia tidak disentuh api; (sinaran nur hidayah yang demikian bandingannya adalah sinaran yang berganda-ganda): CAHAYA BERLAPIS CAHAYA. Allah memimpin sesiapa yang dikehendakiNya kepada nur hidayahNya itu; dan Allah mengemukakan berbagai-bagai misal perbandingan untuk umat manusia; dan Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu…” (24:25)

REALITI KEHIDUPAN SEBENAR

6 & 7. Pada peringkat ini kita telah mengenal diri dan realiti kehidupan sebenar. Disamping mengekalkan amalan sebelumnya, pada peringkat ini kita berupaya menggabungkan ilmu sunnatullah alam, tauhid, tasawuf dan fekah di dalam seluruh kehidupan kita. Pada peringkat ini kita sepenuhnya bersedia untuk kembali bergabung bersama masyarakat dan menjadi Khalifah sebenar. Pada peringkat ini kita mengenal Allah SWT dan akhlak kita secara langsung menjadi seperti akhlaknya Rasulullah SAW kerana bukan nafsu ammarah lagi yang menguasai diri, tetapi ruh kita.

Secara ringkasnya dan sekadar pemahaman mentah ini, itulah perjalanan yang saya rasakan setiap kita perlu tempuhi untuk mengenali Allah SWT. Itulah “usaha” yang perlu kita laksanakan bersungguh-sunggh sebelum berdoa merayu memohon kepada Allah SWT agar dipermudahkan laluannya. Semuanya adalah atas kehendak Allah SWT, dan seseorang itu menerima rahmat yang teramat besar apabila dapat melaluinya. La Hawla Wala Quwwata Illa Billah Aliyil Azeem…

Kini…. di manakah peringkat kita pada masa ini? Fikirkan….

6 thoughts on “Proses Kenal Diri”

  1. Di kala orang sibuk dengan aliran kebatinan, Dr. azhar telah melangkau kepada pengkajian serta perlatihan sistem tenaga dalam. ketika tenaga dalam mula mendapat tempat, Dr. Azhar melangkah lebih jauh dalam memahami serta mengajar minda bawah sedar dan seperti selalu, Dr. Azhar mendahului trend apabila kehebatan minda bawah sedar sedang hebat diperkatakan, dia telah mengajar minda yang lebih halus dan tinggi, MINDA SUPER SEDAR berasaskan konsep meditasi Islam yang dikembangkannya sejak tahun 2000 lagi.

  2. Kajian tentang minda dibawah sedar ini tidak semua ada kebenarannya, kecuali jika kita menempuhnya mengikut kaedah yang dilalui oleh Rasulullah SAW dan sahabat-sahabat….

    Ini kerana idea dan objektif asal kajian minda dibawah sedar adalah berasal daripada konsep untuk menjadikan semua manusia sebagai “Tuhan”… super human (Superman)…. every human is god… konsep untuk bertuhankan hawa nafsu (untuk menjadi hebat dan memperolehi kekayaaan dunia) berdasarkan ini pelbagai kajian lain yang timbul dan banyak daripada mereka ini memuja syaitan bagi memudahkan kajian mereka.

    Oleh itu sebaik-baiknya dapatkan guru yang benar-benar telah mengenal diri dan jangan bergantung kepada kajian orang barat semata-mata… Kajian mereka sekadar berupaya memberi idea atau “clue” dan tidak berupaya membawa kita ke jalan yang benar kerana objektif utama ialah untuk “menjadi hebat” (bertuhankan nafsu).

    “…Dengan yang demikian, bagaimana fikiranmu terhadap orang yang menjadikan HAWA NAFSUNYA: TUHAN YANG DIPATUHINYA, dan ia pula DISESATKAN oleh Allah kerana diketahuiNya, dan dimeteraikan pula atas pendengarannya dan hatinya, serta diadakan lapisan penutup atas penglihatannya? Maka SIAPAKAH LAGI YANG DAPAT MEMBERI HIDAYAH PETUNJUK KEPADANYA SESUDAH ALLAH (menjadikan dia berkeadaan demikian)? Oleh itu, mengapa kamu (wahai orang-orang yang ingkar) tidak ingat dan insaf?…” (45:23)

    Daripada ayat di atas jelas mereka ini SESAT dan oleh itu kenapa perlu mengikut mereka? Satu-satunya jalan yang dilakukan oleh Rasulullah SAW ialah dengan jalan menekan nafsu, bukan mematuhi nafsu…

    Sejahat-jahat perkara ialah perbuatan mereka membeli kesenangan dirinya sendiri dengan mengingkari Al-Quran yang telah diturunkan oleh Allah (2:90)

    Katakanlah (wahai Muhammad): “Hai orang-orang kafir! “Aku tidak akan menyembah (suka, puja) apa yang kamu sembah. “Dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) yang aku sembah. “Dan aku tidak akan beribadat (cara hidup) secara kamu beribadat. “Dan kamu pula tidak mahu beribadat secara aku beribadat. “Bagi kamu ugama (cara hidup) kamu, dan bagiku ugamaku”. (Al-Kafirun)

    Lihat sahaja ilmu ekonomi mereka yang didakwa hebat tetapi mengakibatkan negara mereka bankrup… lihat sahaja sistem kenegaraan yang mereka dakwa hebat mengakibatkan penindasan dan rasuah yang hebat dikalangan pemimpin… lihat sahaja ilmu kemanusiaan mereka yang didakwa hebat tetapi menghancurkan kehidupan sosial mereka, seks diluar nikah, mabuk, hamil, tidak menghormati ibubapa.. Malahan jika kita teliti benar-benar, segala-galanya yang mereka dakwa hebat hanyalah membawa musibah besar ke atas diri dan bangsa mereka sendiri.

    Oleh itu jalan sebenar bukanlah dengan mengikut jalan mereka, dan jalan kenal diri sebenar bukanlah bagi mencapai maksud memenuhi dan “bertuhankan nafsu”… bukan untuk menjadi kaya, menjadi hebat, menjadi bijak, menjadi cantik, menjadi terkenal, menjadi wibawa , hebat berceramah di sana sini dan sebagainya…

    Jalan kenal diri sebenar ialah untuk “menghilangkan segala kepercayaan ke atas diri sendiri” (menjadi orang yang tidak hebat), dan memprogram kembali kepercayaan itu kepada kehebatan yang semata-mata datangnya daripada Allah Taala. Sebesar zarah pun kehebatan diri di dalam minda dan hati perlulah diketepikan sama sekali, dan digantikan dengan kehebatan yang daripada Allah Taala semata-mata.

    Untuk memperolehi kehebatan yang semata-mata datangnya daripada Allah Taala, maka kita memerlukan penekanan nafsu atau ujian dan kesusahan kehidupan yang tinggi bertahun lamanya… Kita memerlukan pengabdian diri kepada Allah Taala dengan tulus ikhlas untuk memperolehi keredhaannya.

    ‘Iyyaka na’budu wa iyyaka nasta’een’
    Hanya kepada Engkau (Allah) sahaja kami mengabdikan diri dan hanya kepada Engkau (Allah) sahaja kami memohon pertolongan.

    Semakin seseorang itu mempercayai dirinya hebat… maka semakin jauhlah dia daripada mengenali Allah Taala.

  3. Asalamuaa’laikum… Tumpang tanya… waktu tidur dikurangkan hingga Masa tidur itu 1-2jam???

    1. W’salam.. sebaik2nya, dan untuk mengenal akal itu perlu terlebih dahulu berupaya menghadapi nafsu… tapi usahakan secara berperingkat… pokok balak pun bermula dari benih yang kecil… yang pentingnya istiqamah…🙂

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s