Tunku Abdul Rahman Bapa Kemerdekaan???


Di bawah ini satu kenyataan rasmi oleh Sasterawan Negara, A.Samad Said dan mempunyai hubungan yang berkait rapat dengan artikel 99.9% Masih Dijajah. Sama-samalah kita renungi nasib kita selama ini adakah benar telah merdeka…..

 

A.Samad: Tunku bukan pejuang, tetapi penyambut kemerdekaan

 

 

Saya tidak fikir Tunku Abdul Rahman ini pejuang, sebab sebelum itu kita dengar Mat Kilau, Mat Indera, (Ahmad) Boestamam, Ishak Haji Muhammad dan sebagainya. Ini memang orang-orang yang berjuang. Dan inilah orang-orangnya yang kita namakan pejuang. Sedang bagi saya, Tunku Abdul Rahman bukan orang berjuang. Dia menyambut. Dia adalah orang yang disetujui oleh Inggeris untuk menyambut kemerdekaan.”

“…Dan penyambut kemerdekaannya, orang yang dirasakan oleh British, orang yang boleh jaga kepentingan yang ditinggalkannya.”

 

Demikianlah kata-kata Sasterawan Negara, A.Samad Said dalam satu forum berjudul “Milik siapakah kemerdekaan ini?” di bangunan Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur-Selangor, semalam. Beliau yang pernah bekerja dengan Ahmad Boestamam, mengisahkan pengalamannya kepada kira-kira 50 orang hadirin, bagaimana Ahmad Boestamam dipanggil untuk berunding dengan Burhanuddin Al-Helmy dan Tunku Abdul Rahman, berhubung “bagaimana kemerdekaan itu harus disambut”.

 

A.Samad Said (gambar kanan), atau lebih dikenali sebagai Pak Samad, pernah bekerja di akhbar Fikiran Rakyat, di bawah pimpinan Ahmad Boestamam. Beliau pernah mengikut Ahmad Boestamam ke bangunan di mana perbincangan tersebut berlangsung, dan beliau dimaklumkan bahawa “British bersedia menyerahkan kemerdekaan ini, tapi perlulah diberikan kepada orang yang munasabah.

 

Waktu itu, tentulah, orang yang munasabah, Tunku Abdul Rahman,” katanya, yang mendakwa bahawa Tunku bekerja dengan British. Menurut beliau, British tidak berunding dengan “kelompok Boestamam, Ishak Hj Muhammad, Burhanuddin” kerana dirasakan tidak akan menjaga kepentingan British, meskipun badan yang dipimpini tokoh-tokoh tersebut ditubuhkan lebih awal daripada UMNO.

 

Kita bermula dengan orang-orang yang berjuang menentang British, yang mendapat hasilnya ialah orang-orang yang bekerja dengan British,” simpulnya di akhir ucapan beliau. Malah, ketika wartawan cuba mengesahkan kenyataannya itu selepas forum berlangsung, beliau mengulangi bahawa “Tunku bukan pejuang, tetapi penyambut kemerdekaan“; bahkan beliau sempat berseloroh dengan wartawan, bahawa istilah “kemerdekaan” pada gelaran “Bapa Kemerdekaan” yang diberikan kepada Tunku mungkin perlu digugurkan, kerana menurut Dr.Zainal Kling, negara kita tidak pernah dijajah.

 

Kuasa diwarisi oleh golongan bangsawan

 

Dan sejak itu, berterus-terusan kita sebenarnya dijajah, atau (guna istilah) diperintahlah, agar lebih manis (didengar), diperintah oleh kelompok yang menyambut kemerdekaan. Dan kelompok ini datangnya daripada golongan bangsawan, selama 54 tahun.”

 

Pak Samad menganggap kesemua Perdana Menteri Malaysia adalah daripada golongan bangsawan, termasuk Mahathir Mohamad yang mendapat gelaran “Tun” kemudiannya.

 

Negara ini tidak pernah diperintah oleh orang yang berjuang untuk kemerdekaan,” tegasnya. Untuk beliau, golongan bangsawan tidak dapat merasakan apa yang dirasakan oleh rakyat biasa, kerana “orang-orang ini mendapat kemewahan daripada awal, mendapat pendidikan percuma daripada awal, mendapat kedudukan daripada awal, mendapat keistimewaan daripada awal…”

“Saya dapat faham kalau orang Cina merasakan, dan saya juga dapat faham kalau orang India merasakan… Tapi akhirnya saya juga merasakan, bahawasanya betul orang Melayu mempunyai keistimewaan, tetapi keistimewaan kelompok atas saja. Rakyat lain…hampir sama saja,” katanya.

 

Pak Samad berkata, keadaan sedemikian menimbulkan rasa ketidaksenangan, maka adalah mudah untuk mereka yang berada di atas untuk memainkan perasaan perkauman, agar tempat mereka dikekalkan. Beliau pernah diajukan soalan sama ada dirinya berasa terancam sebagai Melayu di negara ini, dan jawapannya tidak, kerana sejak merdeka, jawatan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri, kebanyakan jawatan Menteri Besar dan Ketua Menteri disandang oleh Melayu. Seandainya Melayu merasakan dirinya terancam, maka ia bererti pemimpin kita gagal, jelasnya.

 

Lee Ban Chen: UMNO mewarisi penjajahan

 

Sementara itu, penganalisa politik Lee Ban Chen menyifatkan kemerdekaan yang dicapai pada tahun 1957 sebagai “kemerdekaan tiga suku”, dan bukan “kemerdekaan yang tulen”. Ini kerana British telah menolak perlembagaan rakyat ketika itu, sebaliknya memilih UMNO yang ditubuhkan pada tahun 1946 untuk kerjasama.

 

Bagaimanapun, UMNO dalam Perikatan ataupun Barisan Nasional kemudiannya tidak mengisi nama dan bentuk kemerdekaan, sebaliknya mewarisi penggunaan akta-akta zalim dalam zaman penjajahan, misalnya Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), yang merintangi proses reformasi dan pendemokrasian negara kita, kata Lee Ban Chen (gambar kiri).

 

Pak Samad turut bersetuju bahawa “kita sebenarnya masih dalam pemerintahan penjajahan”, kerana undang-undang zalim yang digubal ketika zaman British masih kekal sehingga kini. Malah, Menteri Dalam Negeri siang-siang mengingatkan tentang ISA ketika menangani isu BERSIH 2.0.

 

Dengan nada menyindir, Pak Samad berkata “yang menjadi wira sentiasanya UMNO”, sementara “orang awal yang berjuang semuanya tenggelam”. “Dan paling mudah untuk mengatakan bahawasanya mereka semua ini kelompok komunis yang jahat, dan komunis yang ingin mencengkam…”,dan pada waktu yang sama pula kita berbaik-baik dengan komunis (China) yang ada – antara beberapa “keanehan” yang sedang berlaku di negara dewasa ini, katanya.

 

Seorang lagi panelis dalam forum ini adalah Arumugam, selaku Penasihat Tamil Foudation dan Pengerusi SUARAM. John Brian, iaitu Pengerusi Majlis Penasihat Dayak dan blogger Dayak baru yang dibariskan sebagai panelis sebelum ini, gagal menghadirkan diri kerana masalah tertentu. Forum ini dipengerusikan oleh Adam Adli Bin Abd Halim, iaitu Pengerusi Legasi Mahasiswa Progresif UPSI.

 

*Lim Hong Siang ialah editor MerdekaReview, edisi bahasa Malaysia.

 

**Forum “Milik siapakah kemerdekaan ini?” ini dianjurkan bersama oleh Jawatankuasa Masyarakat Madani Pusat Pembangunan Kebudayaan LLG, Free Public Forum, Solidarity Mahasiswa Malaysia, Bahagian Pemuda Dewan Perhimpunan Cina KL& Selangor dan Seniman Paksi Rakyat Malaysia (PAKSI).

3 thoughts on “Tunku Abdul Rahman Bapa Kemerdekaan???”

  1. Sisi aneh sejarah kemerdekaan Malaysia.. Lebih aneh jika org yg menyedari kepelikan ini masih berjuang melalui demokrasi.. Kerana terbukti pejuang sebenar Tanah Melayu (perjuangan ulama Islam ketika itu) tidak sekali2 rela membiarkan Islam diganti dgn sistem British.. Merekalah pejuang sejati yg telah dicantas.. Perjuangan hari ini perlu meneruskan usaha pejuang ulama lalu bukan melalui platform demokrasi.. Wallahua’lam..

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s